Khamis, 8 Mac 2012

Polis Dapat Petunjuk Baru Kes Kehilangan Nurul Nadirah

Polis percaya dapat menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak perempuan di Bandar Seri Alam, di sini, dalam masa terdekat selepas mendapat petunjuk baru yang diyakini dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata satu pasukan siasatan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal dan dibantu Bukit Aman ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak terbabit, Nurul Nadirah Abdullah, 5.

"Berdasarkan bukti kukuh, kanak-kanak itu dipercayai masih hidup. Polis membuat pemeriksaan di 23 lokasi di negeri ini dan Kuala Lumpur termasuk di sarang penagih dadah.

"Dengan bukti dan petunjuk baru itu, kita percaya dapat menyelesaikan kes terbabit dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sagu hati perkhidmatan Tabung Amanah Warisan Polis kepada bekas polis zaman darurat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Nurul Nadirah atau lebih mesra dipanggil Dirang dilaporkan hilang pada pukul 11 pagi ketika anak kedua daripada tiga beradik itu telah diberi wang RM4 dan sekeping nota untuk membeli dua bungkus mi segera dan telur.

Bagaimanapun, mangsa masih tidak pulang selepas hampir sejam menyebabkan Roselyn dan suami, Lima Medang, 25, pergi mencari Nurul Nadirah di kedai runcit tersebut tetapi dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah beredar pulang sejurus membeli barang-barang yang dimahukannya.

Menurut Roselyn, dia kini bimbang mengenai keselamatan anaknya itu walaupun polis telah membuat tangkapan dan memaklumkan mengenai penemuan sepasang selipar milik anaknya berserta mi segera dan telur di dalam kawasan kelapa sawit berhampiran flat empat tingkat terbabit.

"Ada jiran ternampak anak saya telah dilarikan oleh sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang tinggal di rumah kosong yang telah dilelong di depan kediaman kami.

2 ulasan:

Suzie berkata...

Ya Allah selamatkanlah dia

Tanpa Nama berkata...

arini kt pasir gudang org jmpe kepala budak..hopefully bukan kepala budak yg hilang ni kn....cian dier...