Isnin, 21 Mei 2012

Mentor 6-Peserta Yang Layak Ke Separuh Akhir

MALAM tadi, impian KJ untuk menggenggam kejayaan sebagai juara Mentor musim keenam hancur berkecai apabila dia menjadi peserta kedua meninggalkan program realiti itu selepas protege Ramlah Ram, Ana Syuhada, tersingkir pada minggu lalu.

Nyata, persembahan kurang konsisten daripada protege Adam itu gagal menarik perhatian peminat dan juri, yang lebih terpikat dengan nyanyian protege Ella, Caroline, dan anak didik Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Zatul, yang juga muncul pemenang bagi pusingan keempat dengan 71 markah.
Peserta pilihan, Caroline memperoleh 60 markah dan KJ 48 markah.

Dengan penyingkiran KJ atau nama sebenarnya Abdul Kadir Unding Lana, 24, membolehkan Caroline dan Zatul menyertai dua lagi peserta, Anas, yang juga protege Faizal Tahir dan Tisha (protege Ferhad) untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.

Selepas tamat pusingan keempat, KJ meninggalkan program berkenaan dengan 216 markah keseluruhan berbanding Caroline, 256 markah dan Zatul, 241 markah.

Sebelum itu, membuka konsert malam tadi, ketiga-tiga protege daripada kumpulan B menyampaikan rangkaian lagu hits Datuk Shake seperti Anugerah Dari Kegagalan, Umi dan Lina.
Malah, Shake yang hadir memberikan sokongan kepada peserta bertanding, turut menerima kejutan sambutan hari lahirnya.

Seperti biasa, tumpuan pada malam tadi lebih terarah kepada persembahan Caroline dan mentornya, Ella. Wanita muda dari Tanah Merah, Kelantan itu sering tampil dengan gaya persembahan bertenaga di samping vokalnya yang meyakinkan.

Dengan lagu Aku Bukan Untukmu nyanyian asal Rossa serta Elang dendangan Dewa, persembahan gadis berusia 20 tahun itu mendapat sorakan gemuruh penonton serta komen positif daripada juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini.

Caroline jelas selesa ketika menguasai pentas sewaktu menyampaikan lagu Elang. Irama rancak sememangnya tampak serasi dengan bakat baru ini, apatah lagi dia sendiri mengaku lebih menggemari irama sedemikian.

Sharifah Aini mengumpamakan persembahannya sebagai sebuah showcase, manakala tahap keyakinan peserta itu juga dilihat semakin meningkat. Biduanita itu juga sempat mencabar Caroline supaya menampilkan persembahan yang baik ketika mengalunkan irama perlahan, sebagaimana dia mempamerkan nyanyian yang hebat untuk lagu rancak.

Hasil persembahannya, remaja berkenaan memperoleh 19 markah daripada juri di auditorium.

Berbeza dengan Caroline, Zatul mempertaruhkan lagu daripada kumpulan 6ixth Sense berjudul Tak Bisa Memilihmu dan Lagu Untukmu daripada kumpulan Meet Uncle Hussain. Amat difahami, Ogy membuat percaturan sebegitu bagi membolehkan juri serta peminat menilai keupayaan sebenar vokal peserta berusia 23 tahun dari Kedah ini.

Juri awam memberikan markah penuh, 20, untuk Zatul yang berjaya membuatkan Sharifah Aini tersentuh dek persembahannya. Juri tetap itu juga perasan kematangan vokal peserta terbabit yang kian terserlah.

Ramli pula memuji kreativiti Ogy dan protegenya yang menggubah semula lagu popular 6ixth Sense itu untuk disesuaikan dengan kemampuan suara Zatul.

Jika Zatul memilih lagu artis berkumpulan manakala Caroline mempertaruhkan lagu dari seberang, KJ tampil dengan lagu Ombak Rindu dan Sesal Mendua daripada kumpulan Klangit untuk persembahannya.

Bagi Sharifah Aini, lagu kedua cukup sempurna buat peserta terbabit, yang cuba mencuri markah menerusi kebolehannya menari. Bagaimanapun penyampaian lagu tema filem popular, Ombak Rindu, agak lemah dan sumbang, kata penghibur terkenal berkenaan.

Ramli turut menyaksikan penurunan pada graf persembahan jejaka berasal dari Kota Kinabalu itu.

Mentor disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Auditorium MBSA, Shah Alam.


1 ulasan:

Nurfarahana Abdul Aziz berkata...

Yang masuk semi ni memang patut. :)