Sabtu, 19 Mei 2012

Nur Afifah Dibawa Lari Ke lombok Menderita Sehingga Maut Disana

“Saya tidak akan maafkan perbuatan keji lelaki Lombok itu kerana apa yang dilakukannya terhadap Afifah satu ‘pembunuhan’ dan menghancurkan hati kami sekeluarga,” kata Hasliza Ismail, 45, ibu kepada remaja perempuan, Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan seorang lelaki Lombok, kira-kira tiga minggu lalu sebelum akhirnya meninggal dunia di Lombok, 6 Mei lalu.

Menurutnya, tindakan lelaki dikenali Mohamad Yani, berusia 20-an itu ibarat sengaja membawa anaknya ke jalan maut berikutan Nur Afifah memang menghidap kencing manis kronik dan perlu mengambil suntikan insulin setiap minggu.“Saya sekeluarga amat sedih dan terkilan berikutan Afifah mati dalam keadaan penuh azab kerana tidak diberikan rawatan sewajarnya sejak dilarikan, kira-kira jam 11.45 malam, 18 April lalu,” katanya.

Difahamkan, Nur Afifah disahkan meninggal dunia akibat kencing manis di Rumah Sakit Bhayan Kara, Bolda, Lombok, Indonesia pada 6 Mei lalu.Bagaimanapun, jenazah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Panglima, Kamunting, di sini, masih ditempatkan di bilik mayat rumah sakit itu sejak 12 hari lalu dan gagal dibawa pulang ke Malaysia hingga kini.

Berita kematian Nur Afifah diketahui Hasliza dan suami, Mohd Zuhari Idris, 47, selepas Ketua Imigresen Taiping, Ahmad Fitri Ahmad Rabudzi memaklumkan kepada mereka pada petang, 11 Mei lalu selepas Kedutaan Malaysia di Jakarta menerima salinan sijil lahir dan MyKad milik arwah.Hasliza berkata, dia tidak dapat melupakan perbualan terakhir dengan Mohamad Yani yang melarikan anaknya seminggu sebelum kematian Afifah.“Dia menghubungi saya bertanya khabar sebelum meminta saya mengirimkan sekeping gambar saya konon bagi mengubat adik (Nur Afifah) yang demam. “Saya mempersoalkan tindakannya dan meminta dia segera memulangkan adik ke pangkuan kami secepat mungkin,” katanya. 

Menurutnya, ketika itu, lelaki itu memarahinya dan enggan berbincang mengenai Nur Afifah yang dipercayai sudah dibawa keluar dari Malaysia dan berada di Lombok.“Pada masa sama, seorang lelaki mendakwa dukun di Lombok turut menghubungi saya dan meminta segera menghantar gambar dengan alasan jampi mantera sudah disiapkan.“Saya jadi kaget dan tidak percaya kerana mana mungkin adik yang sakit kritikal dapat disembuhkan dengan jampi serapah bomoh tanpa dirujuk ke hospital, malah saya tidak dibenarkan bercakap dengan adik,” katanya.

Menurutnya, kencing manis dihidapi Nur Afifah begitu serius berikutan arwah sentiasa berpeluh, sesak nafas sebelum pitam.“Kejadian itu sudah kerap berlaku ketika Nur Afifah membantu saya berniaga di kedai. Bagaimanapun, nyawanya sempat diselamatkan selepas segera dibawa ke Hospital Taiping.“Firasat buruk saya akhirnya menjadi kenyataan apabila Nur Afifah disahkan meninggal dunia hanya kira-kira tiga minggu selepas dilarikan lelaki itu,” katanya.Katanya, kehilangan Nur Afifah amat dirasai apabila suaminya sering mengigau dan menyebut nama Nur Afifah berulang kali ketika tidur.“Suami pernah bermimpi Nur Afifah pulang ke rumah dan terus menuju ke dapur sebelum menjamah makanan sepuas-puasnya. Ketika itu, dia merasakan mimpi itu seolah-olah benar dan memanggil nama adik berulang kali sebelum tersedar.“Malah, saya turut didatangi mimpi sedih apabila adik tiba-tiba muncul tanpa berkata sepatah ayat sebelum baring dalam dakapan. Dalam mimpi itu, saya memeluk dan menciumnya sebelum cuba mencari telefon bimbit memaklumkan berita gembira kepulangannya kepada sanak-saudara,” katanya.

Menurutnya, anak bongsunya, Mohd Zulhelmi, 13, yang rapat dengan kakaknya turut mengalami mimpi sama.“Paling mendukacitakan apabila lelaki yang bertanggungjawab melarikan hingga menyebabkan kematiannya terus menghilangkan diri selepas kejadian. Dia gagal dihubungi termasuk oleh kakitangan Kedutaan Malaysia,” katanya.Katanya, tindakan biadab dan tidak perikemanusiaan lelaki itu perlu menerima hukuman setimpal dengan penderitaan dialami mereka sekeluarga.“Saya amat berharap lelaki jahanam itu dibawa pulang ke Malaysia dan dihukum seberat mungkin. 

Itu harga atas apa yang dilakukan kepada kami,” katanya.Hasliza yang kudung kaki kiri akibat kencing manis kini tidak dapat lagi berniaga sejak lebih seminggu lalu kerana terlalu sedih.Menurutnya, dia kini menunggu kepulangan jenazah anaknya itu yang dijangka tiba beberapa hari lagi.“Saya berterima kasih pada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie yang bertungkus-lumus menguruskan penghantaran pulang jenazah anak saya,” katanya.sumber : hmetro.com.my  ‘Tiada maaf buat lelaki itu’


2 ulasan:

Unknown berkata...

Kenapa la ramai lelaki Lombok kat Malaysia ni? takde ke cara nak sekat mereka ni?

skuterlady.blogspot.my berkata...

memang kurang aajar gitu...