Isnin, 7 Januari 2013

Alasan Media Prima Kenapa Aizat Gantikan Uji Rashid Nyanyikan Terukir Di Bintang AJL27

BERIKUTAN terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan pada malam Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), Yunalis Zarai terpaksa memilih penyanyi gantian bagi menyanyikan lagunya, Terukir Di Bintang.

Pada awalnya, penyanyi Uji Rashid dipilih berikutan Yuna sekeluarga meminati penyanyi itu, namun berlaku pertukaran di saat-saat akhir.

Mengulas lanjut soal itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya tidak terlibat membuat keputusan bagi persembahan AJL.
Persembahan Aizat menyanyikan Lagu Terukir Di Bintang AJL27
“Kami biarkan... pemilihan artis dan pemilihan persembahan, nak bawa jeti ke, helikopter ke... semua terpulang pada artis.

“Kami tidak terlibat dalam membuat keputusan sebab ini pertandingan. Semua terpulang pada mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan media berhubung pertukaran penyanyi pada saat-saat akhir itu.

Katanya, mereka akur dengan keputusan Yuna yang mahukan Uji Rashid menyanyikan lagunya itu.

“Yuna telah memilih Uji Rashid untuk menyanyikan lagu dia. Kami akur dengan apa yang artis mahukan.

“Semasa raptai, kami dapat rasakan sesuatu tidak kena tetapi tak pasti apa itu. Jadi, kami menasihatkan, cuma menasihatkan (cari pengganti lain),” katanya.

Tambahnya, “jadi, Yuna sendiri telah memilih Aizat.”

Dalam pada itu, bercakap soal kelayakan lagu Terukir Di Bintang memenangi AJL27 itu, Ketua Juri AJL27, Azmeer berkata, pemilihan pemenang dibuat tanpa ada sebarang perbincangan.

“Kita tidak boleh menidakkan sesebuah lagu itu hanya kerana penyanyinya tidak dapat bersama kita. Saya ucapkan tahniah kepada Aizat kerana dapat mempersembahkan lagu itu dengan gayanya yang tersendiri... lebih santai. Michael Buble punya stail.

“Yuna membawa kita ‘time travel’ ke tahun 50-an..dan kami tidak ada perbincangan langsung sewaktu penjurian. Saya yakin ini adalah keputusan yang ikhlas daripada semua juri,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Azmeer menegaskan, Terukir Di Bintang menjadi juara bukan kerana penyanyinya.

“Kita ada peratusan di mana sesiapa saja yang menyanyikan lagu ini, tidak semestinya menentukan kemenangan lagu ini.

“Mungkin ada peratusan 10 hingga 15 peratus (markah untuk penyanyi) tetapi secara keseluruhannya ialah hasil daripada kreativiti, susunan muzik, keberkesanan lagu ini terhadap industri,” katanya.

Apabila dibangkitkan kemungkinan lagu Terukir Di Bintang untuk menang pada malam tadi jika Uji Rashid yang menyampaikannya, Azmeer menjawab:

“Saya belum dengar lagi Kak Uji menyanyi. Jadi, andai kata saya dengar, baru saya boleh beri markah atau komen terhadap 10 hingga 15 peratus (markah) keberkesanan penyampaian Kak Uji terhadap lagu ini."

“Saya percaya, kalau Kak Uji sampaikan dengan baik, lagu ini tetap akan menjadi juara,” katanya.

AJL27 diadili 10 juri profesional, iaitu Ramli Sarip, Hetty Koes Endang, Yassin Sulaiman, Aubrey Suwito, Edrie Hashim, Helen Yap, dan Ad Samad, Eddie Marzuki dan Acis serta Azmeer selaku ketua juri.

Persembahan penutup menyaksikan gabungan empat lagenda rock tanah air, Rahmat Mega, Aris Ariwatan, Joey Bumiputera Rockers dan Ramli Sarip yang menyampaikan lagu hit masing-masing.

Antaranya Bayangan Gurauan, Lamunan Terhenti, Seribu Tahun Takkan Mungkin dan Kamelia diiringi empat gitaris, Rodi Kristal, AG Coco, Man Kidal dan Edrie Hashim.


Tiada ulasan: