Ahad, 16 Jun 2013

Yana Samsudin Punya Deria ke-6 Alami Perkara Pelik Dalam Hidup

Siapa sangka di sebalik keramahan dan senyum manis, hati Yana Samsudin gundah gulana. Sudah lama dia me­ngalami pengalaman pelik dan sering berteka-teki apa sebenarnya yang menghantui dirinya.

Tidak tahu apa puncanya, pelakon, pe­ngarah, penulis skrip dan penyanyi yang mempunyai deria keenam sejak kecil ini selalu tidak sihat. Ketika menjayakan drama Adnan Sempit the Series, suhu badannya naik mendadak menjelang Maghrib dan akan kembali normal pada waktu Subuh.
Pernah panas badannya mencecah 42 darjah Celsius hingga beberapa kali dinasihatkan doktor supaya dimasukkan ke hospital. Tambah pelik, doktor tidak dapat mengesan punca penyakitnya.

Bukan itu saja, pelakon filem wanita popular Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini berdepan kejadian aneh di mana sering bertemu gumpalan rambut bukan saja di rumah, tetapi tempat kerja.

Perkara itu berlarutan hingga ke hari ini, malah teman serumahnya memaklumkan dia sering meracau di tengah malam.

“Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, tetapi perkara ini merunsingkan fikiran. Saya tenggelam punca kenapa tiba-tiba demam dan selalu jumpa rambut. Sampai satu tahap, saya tidak boleh fokus berlakon disebabkan badan dan otak terlalu penat.

“Saya mamai di lokasi hingga orang ingat saya ambil benda tak elok, walhal semua itu kesan ubat antibiotik yang doktor beri. Sehari dua mungkin kita tahan tetapi kalau setiap hari perkara sama berulang (demam malam), kita akan jadi lemah. Macam-macam kaedah dilakukan doktor untuk me­ngesan punca sebenar demam berlarutan, tetapi tiada jawapan.

“Keadaan semakin teruk bila saya berlakon cerita seram. Selalu saya jumpa gumpalan rambut di bilik air, walhal saya sudah bersihkan bilik sebelum keluar. Bila belek, rambut itu panjang, sedangkan rambut saya pula pendek. Tak ada orang lain gunakan bilik air saya melainkan saya seorang.

“Pernah ketika mahu masuk lif, ada rambut panjang melintang di pintu masuk,” katanya sambil menghela nafas.

Berdasarkan apa dilalui, ada kenalan mencadangkan dia bertemu orang bijak pandai kerana mungkin disihir, namun si manis ini tidak mahu bersangka buruk. Buat masa ini, dia masih bertahan dan akan terus bertahan selagi mampu.

Bukan itu saja pengalaman pelik dialami Yana. Katanya, dari dulu gerak hatinya kuat, malah dapat membaca apa yang berada dalam fikiran orang lain.

Kerap dia didatangi mimpi indah dan menakutkan. Namun yang membuatkan dia gelisah apabila mimpi itu seakan-akan alamat, begitu juga apa yang terdetik di hatinya.

Lebih musykil apabila kebanyakannya menjadi kenyataan. Andai apa yang terlintas di hati atau dimimpikan itu indah tidak mengapa namun jika sebaliknya, dia pasti runsing memikirkan apa bakal berlaku.

“Saya tidak pasti sama ada ini kebetulan atau satu kelebihan. Jauh di sudut hati, saya takut apabila apa yang terlintas di hati benar-benar berlaku. Mimpi buruk atau indah pula bagaikan alamat supaya saya beringat atau bersedia kerana tidak lama selepas itu saya berdepan situasi seakan-akan jawapan kepada mimpi itu.

“Pernah ketika memandu, saya nampak kanak-kanak menunggang basikal. Ketika itu saya dapat rasakan dia akan mengalami kemalangan dan ia benar-benar berlaku. Itu antara kejadian yang tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini.

“Saya tidak tenang bila fikirkan apa rahsia di sebalik semua ini. Susah hati jadinya, namun saya kena kuatkan hati. Saya tidak boleh lemah kerana bukan semua buruk. Ada juga yang baik-baik berlaku. Cuma ada ketikanya saya rasa penat,” katanya.




2 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Tak salah berikhtiar.

penyisir rambut berkata...

seramnye...maybe kena tegur kot...kena jumpe ustaz la cmni...