BIBIRNYA tidak henti-henti melafazkan syukur apabila berjaya melepasi sempadan Jordan kerana impian menjejakkan kaki ke kota suci Baitulmuqadis, nadi bumi Palestin yang menyimpan 1,001 cerita, akhirnya dapat direalisasikan.
Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, tatkala tanah yang menyaksikan perjuangan nabi terbentang luas depan mata. Bersama kru produksi program Al-Hidayah yang bersiaran di TV3, Wardina yang diberi kepercayaan sebagai hos, memulakan kembara yang sungguh bermakna buatnya sebagai Muslim.
Kata Wardina, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Janganlah kamu berasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid — Masjidil Haram, Masjid ku (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” (Riwayat Ad-Darimi, An-Nasa’i dan Ahmad) “Alhamdulillah, impian saya untuk bersolat di Masjidil Aqsa jadi kenyataan. Semua ini rezeki Allah. Banyak pengalaman menarik saya lalui dalam kembara ini, tidak kurang juga insiden menakutkan.
“Air mata saya mengalir laju di Masjidil Aqsa. Di sana saya bertemu imam pertama, Syakh Yusuf Abu Sunainah yang berkhidmat 30 tahun. Beliau yang dilahirkan di perkarangan Aqsa menyampaikan salam buat rakyat Malaysia dan mengajak kita beramai-ramai sujud di Masjid Aqsa.
“Saya juga melihat mimbar Khalifah Umar, Mihrab Nuradeen, Tiang Jin Nabi Sulaiman, penjara jin, terowong yang digali orang Yahudi, melihat serpihan peninggalan bom, peluru dan kesan kebakaran dilakukan fanatik Yahudi.
“Bagaikan bermimpi apabila dapat bersolat Jumaat di Masjid Kubah Emas. Di situlah terletaknya batu tergantung yang dikatakan ingin mengikut Rasulullah SAW sewaktu perjalanan Mikraj,” katanya.