Selasa, 14 Februari 2012

Jatuh Cinta kerana sajak Sonnet 18 - William Shakespeare

KALAU sudah jodoh namanya, tiada siapa boleh menolak kemahuan dua insan yang ingin bercinta. Tidak kisahlah bagaimana dan di mana dipertemukan, mereka berhak untuk menyelami hati masing-masing dan cuba menjayakan percintaan itu.


Begitulah yang terjadi kepada Zain Sadari, 24, dan Colleens Mohd Noor, 24, yang tidak pernah terlintas akan saling jatuh cinta hanya kerana menyertai program realiti mencari jodoh, Take Me Out musim pertama yang disiarkan di ntv7. 




Istimewa sempena Hari Kekasih, satu pertemuan dan sesi fotografi diadakan bagi mendalami kisah cinta pandang pertama mereka serta berkongsi cerita sebenar di sebalik pertemuan itu. Mungkin ramai yang skeptikal dan melabel rancangan sebegini hanya akan memberi impak negatif dan tidak berjaya namun realitinya kerana program ini, dua hati kini bertaut.

Collens, seorang pegawai aduan di sebuah bank terkemuka di ibu negara tidak pernah menyangka akan bertemu Zaid, lelaki idamannya selama ini. Jelasnya, ini semua gara-gara seorang rakan yang kebetulan terbabit dalam produksi rancangan berkenaan menggesanya untuk mencuba nasib memandangkan dia masih lagi solo.

“Mulanya tujuan untuk masuk program ini sekadar suka-suka dan memenuhi permintaan rakan karib. Namun, semakin lama berada dalam rancangan itu, saya menyedari sebenarnya ia sesuatu yang sangat bagus kerana bukan saja dapat berjumpa dengan ramai orang, malah kisah mereka juga sangat menarik.

“Sepanjang minggu, kami 30 wanita akan diberi pilihan untuk memilih seorang daripada empat calon baru lelaki pada setiap episod. Memang sukar untuk mendapat lelaki yang betul-betul menepati pilihan kerana pasti ada saja kriteria pada mereka yang saya kurang berkenan.

“Mereka akan diberi satu tempoh untuk cuba memikat kami dengan melaksanakan tiga cabaran dan terus memadam ‘buzzer’ sekiranya tidak berkenan.

“Sehinggalah pada minggu keempat, Zaid muncul sebagai seorang daripada calon dan sebaik dia memperkenalkan diri, saya sudah mula jatuh hati. Saya rasa dia seorang yang unik dan sangat selesa dengan dirinya. Ketika menyempurnakan cabaran, dia kelihatan yakin sekali dan itu benar-benar membuatkan saya ‘cair’.

“Pada cabaran bakat, dia tampil dengan membaca sajak kesukaan saya bertajuk Sonnet 18 karangan William Shakespeare. Saya benar-benar terpikat padanya pada saat itu,” jelas gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.

Akuinya, dia tidak menyangka akan muncul seorang lelaki yang begitu menghargai karya sastera kerana dia memang peminat setia dan pernah belajar bidang kesusasteraan.

Pada segmen keempat iaitu penentuan siapakah daripada dua wanita terakhir yang berjaya menawan hati si jejaka, Zaid akhirnya memilih Colleens. Maka, satu pertemuan untuk mereka diatur bagi memberi ruang mengenali hati budi masing-masing.

Rentetan pertemuan pertama itu, Colleens mengakui banyak persamaan antara mereka seperti meminati fesyen, suka membeli-belah dan kedua-duanya bekerja dalam bidang yang sama.

Istimewanya, cerita yang sama juga terjadi kepada Zaid yang menyertai Take Me Out selepas rakannya beriya-iya memintanya mencuba nasib. Jelasnya, dia tidak meletakkan apa-apa harapan pada awalnya kerana cuma ingin mencari pengalaman di samping memenuhi permintaan kawan.

“Mungkin mereka kasihankan kerana hanya saya satu-satunya yang belum ada kekasih. Saya memang tidak pernah menonton rancangan berkenaan dan hanya menurut apabila diminta untuk bersedia dengan beberapa cabaran.

“Oleh kerana saya tidak pandai sangat menyanyi, menari apatah lagi berdrama, produksi mencadangkan saya untuk membuat monolog dalam bahasa Perancis untuk segmen bakat. Tapi saya terfikir, mana mungkin penonton mampu menghayatinya kerana bukan semua faham bahasa Perancis.

“Puas berfikir, saya mengambil keputusan untuk bersajak dan sejurus selepas mempersembahkannya pada sesi raptai, tidak sangka pihak produksi memuji dan menyukai persembahan itu.

“Menjelang hari sebenar, ketika memasuki pentas dan melihat barisan gadis jelita di depan mata, saya sebenarnya sudah terpikat dengan Colleens. Ketika itu, saya hanya mampu melakukan yang terbaik untuk memikat mereka dan akhirnya, Colleens satu-satunya yang berjaya menambat hati saya.

“Colleens di mata saya, seorang gadis yang penuh karisma, jujur dalam segala segi, kelakar dan apa saja benda yang dia lakukan sangat ‘cute’. Selain itu, dia juga seorang yang pintar dan tahu banyak benda.

“Sehingga hari ini, kami sudah bersama kira-kira tiga bulan dan masih lagi dalam proses saling menyelami diri masing-masing. Kami juga sepakat untuk tidak memikirkan soal perkahwinan kerana masih terlalu awal,” katanya.

2 ulasan:

incik berkata...

wahh! boleh jatuh cinta dgn sonnet 18 memang hebat la sbb saya baca tak faham pun apa william tulis.

Unknown berkata...

Hebat