Jumaat, 9 Mac 2012

Drama Cinta Jangan Pergi- Kisah Percintaan Tiz Zaqyah & Remy Ishak

LUAHAN Remy Ishak yang mengakui memerlukan masa tatkala disentuh perihal cintanya yang dikatakan sudah berakhir mengundang persoalan memandangkan sebelum ini dia dan Tiz Zaqyah dilihat serasi bersama.
Cuma berbanding diri si jejaka, pihak gadis pula dilihat selesa ketika berkali-kali membuat penafian. Malah dia menegaskan, mereka masih bersama hingga sekarang.

Tegas Tiz saat ditemui pada sidang media Wanita Inspirasiku di Kota Damansara semalam, selagi kenyataan putus hubungan tidak keluar daripada mulut Remy sendiri, selagi itu dia tidak akan percaya dengan segala desas-desus yang bertebaran.

Bagi pelakon berusia 24 tahun ini, hanya kesibukan tugas yang membuatkan orang luar jarang terlihat kelibat mereka berdua, sehingga timbul cerita kurang enak menyatakan segala-galanya sudah berakhir.

“Kami masih bersama dan gosip yang mengatakan kami putus tidak berasas. Kalau benar dia (Remy) yang mengatakan hubungan kami sudah berakhir, kenapa tidak di depan saya?

“Mungkin orang salah anggap kerana tidak melihat kami ke mana-mana bersama. Hakikatnya, perhubungan kami masih seperti dulu,” katanya dengan tenang. Seakan memahami persoalan berkaitan hubungan bakal diaju media semetelah kekasihnya sendiri dikatakan pernah memaklumkan kepada teman media dirinya sudah kembali solo, Tiz cukup berhati-hati menyusun bicara.

Walau kurang selesa berkongsi soal hati, pelakon Nur Kasih itu tetap membalas setiap persoalan, cuma dari bahasa tubuh serta riak wajahnya, dia seperti cuba menyembunyikan sesuatu.

“Saya tidak faham, kenapa soalan mengenai gosip sama juga yang diajukan, sedangkan saya sudah pun memberi komen kepada media sebelum ini yang kami masih lagi bersama.

“Itu cuma gosip dan bagi saya pula, adalah lebih selesa untuk bercerita mengenai karier berbanding soal peribadi. Publisiti sebegini kena adil dan seiring dengan karier saya kerana peminat juga ingin tahu fasal karier, bukan hanya gosip,” katanya.

Menyentuh mengenai jangka hayat perhubungan mereka, Tiz menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Dia juga sedia menerimanya sebagai takdir jika tiada jodoh di antara mereka.

Sibuk dengan penggambaran drama terbaru berjudul Dejavu Di Kinabalu, Tiz memegang watak Nadira bergandingan dengan Aqasha yang membawa watak Amar. Turut berlakon bersama mereka ialah pelakon baru, Aisyah.

Selain itu, Tiz juga akan bergandingan dengan kekasih hatinya dalam drama Cinta Jangan Pergi yang akan menjalani penggambaran di Eropah, Jun ini.

“Skrip ditulis oleh Zul Huzaimi dan sedikit sebanyak ia ada kaitan dengan kisah percintaan kami. Mungkin drama ini akan dapat menguatkan lagi pandangan orang mengenai hubungan kami,” katanya.




1 ulasan:

Suzie berkata...

Suka sangat Tiz Zakiyah ...comel