Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, seramai 15 pelajar Sekolah Menengah St Francis di sini, cedera akibat terkena renjatan kesan panahan petir.
Mereka yang juga ahli Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dikatakan hari pertama berada di kem itu untuk menjalani kursus selama seminggu.
“Saya jatuh terlentang selepas terkena renjatan akibat panahan petir pada pokok berdekatan,” kata Mohd Faisal Othman, 14, antara 15 pelajar yang menjadi mangsa panahan petir di Kem Pengakap Bukit Katil di sini, petang semalam.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama dua rakan yang berada dalam khemah kecil, keluar untuk ke khemah besar yang terletak tidak jauh dari situ.
“Sebaik keluar, saya nampak petir menyambar pokok berdekatan sebelum tiba-tiba saya jatuh terlentang.
“Ketika itu saya nampak beberapa lagi rakan turut terkena renjatan akibat panahan petir itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, malam tadi.
Rakannya, Mohd Danish Azilan, 15, berkata ketika kejadian dia berada atas katil dalam khemah bersama beberapa lagi pelajar sedang berehat kerana hujan berserta ribut.
“Tiba-tiba kaki saya berasa kebas dipercayai akibat renjatan petir,” katanya yang mempunyai kesan kemerahan di paha kanan.
Selain 15 pelajar berkenaan, lebih 400 pelajar dari 17 sekolah di seluruh negeri berada di situ untuk menghadiri kursus Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM).
Semua pelajar yang cedera itu kemudian terus dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil tanpa kecederaan serius.
1 ulasan:
mujur tak de apa2 kan ct...
Catat Ulasan