Ahad, 1 Januari 2012

Apek Diiktiraf Jejaka Terhangat 2011 Oleh XY Ikon Lelaki (BH)

SIAPA jejaka pilihan Malaysia 2011? Lelaki mana paling bergaya? Siapa pula jejaka yang mencipta fenomena bagi 2011? Kolum XY - Ikon Lelaki telah memilih enam jejaka termasuk sekumpulan lelaki yang dilihat paling menonjol serta memberi impak besar dalam bidang sukan, hiburan, peragaan dan kemasyarakatan sepanjang tempoh 12 bulan lalu. Pemilihan ini adalah berdasarkan reaksi peminat, liputan media dan skala sumbangan serta kejayaan yang dicipta mereka.

MENUTUP tirai 2011, XY - Ikon Lelaki menyenaraikan enam jejaka dan sekumpulan anak muda yang memberi impak sepanjang tahun. Bukan saja mencipta fenomena dalam kelas tersendiri, inisiatif dan kejayaan yang dilakar tujuh anak muda ini cukup dirasai komuniti.

Pelbagai latar belakang, kumpulan jejaka terhangat ini bagai memberi definisi baru jejaka Malaysia yang bercita-cita besar dan mampu menawan dunia!
 
1. Khairul Fahmi Che Mat (Apek) - Penjaga gol kebangsaan

Mendahului yang lain, penjaga gol kebanggaan, Khairul Fahmi Che Mat. Lebih dikenali sebagai Apek, bintang bola sepak ini nyata memberi impak tersendiri sepanjang tahun ini.

Selaku ketua pasukan Harimau Muda dan mewakili skuad bola sepak Kelantan, Apek mencipta kelompok peminat yang ramai hinggakan kisah peribadi dan kehidupan hariannya ingin dikongsi pemuja. Faktor ketangkasannya sebagai penjaga gawang No 1 negara selain status bujang idaman menjadi antara faktor dirinya menjadi perhatian umum. 

Profil

Nama: Khairul Fahmi Che Mat
Umur: 22 tahun
Tarikh lahir: 7 Januari 1989
Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan
Status: Bujang

2. Shaheizy Sam - Pelakon popular

Pemenang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Shaheizy Sam menduduki tangga kedua senarai Jejaka Terhangat 2011. Siapa tidak kenal Shaheizy - pelakon muda berbakat besar malah mengetepikan aktor lain dalam industri hiburan sejak tahun lalu.

Karektor dirinya - baik di dalam atau di luar set penggambaran cukup disenangi peminat dan media. Jadi, tidak hairanlah, Shaheizy kurang dipalit kontroversi terutama yang bersangkut paut dalam soal percintaan dan gosip liar. Namanya terus kukuh, malah dikatakan mampu melariskan filem.

Profil

Nama: Shaheizy Sam Abd Samad
Umur: 29 tahun
Tarikh lahir: 4 September 1982
Tempat lahir: Petaling Jaya, Selangor
Status: Bujang


3. Harimau Muda - pasukan bola sepak negara 

Tangga ketiga dalam senarai ini menjadi milik pasukan Harimau Muda. Siapa tidak kenal pasukan ini yang mencipta kejayaan gemilang menewaskan pasukan Indonesia sekaligus memperoleh pingat emas pada Sukan Sea ke-26 yang lalu.

Kemenangan cukup bergaya menewaskan pasukan tuan rumah dianggap mampu menutup mulut pengkritik yang sebelum itu menganggap beberapa kemenangan yang diraih adalah sekadar kebetulan. Kejayaan Skuad Harimau mencetus fenomena dalam dunia bola sepak tempatan selain membuktikan kemampuan sebenar anak muda tempatan yang dibimbing jurulatih berkaliber, Ong Kim Swee.

Selain menampilkan Khairul Fahmi sebagai penjaga gol utama, ramai lagi bintang muda yang menjadi tunggak kejayaan pasukan Harimau Muda seperti Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Profil

Nama: Harimau Muda @ skuad bola sepak bawah 23 tahun negara


4. Anuar Zain - penyanyi

Siapa tidak kenal lelaki ini? Menduduki tangga keempat, Anuar Zain terus melakar sejarah dalam kariernya tahun ini. Pada usia melepasi angka 40 tahun, penyanyi yang popular menerusi lagu Sedetik Lebih ini masih lagi memiliki aura sebagai penghibur hebat.

Kejayaan Anuar Zain mengungguli tiga trofi utama di Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-18 menerusi Lagu Pop Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Lelaki termasuk trofi ‘kontroversi’ Lagu Terbaik menerusi lagu Sedetik Lebih menyaksikan dirinya masih lagi unggul.

Status bujang serta penampilan kacaknya menyukarkan penyanyi lelaki lain memberi saingan, lebih-lebih lagi Anuar sering tampil dengan album berkualiti selain tahap disiplin yang terpuji.

Profil

Nama: Anuar Zain
Umur: 41 tahun
Tarikh lahir: 15 Februari 1970
Tempat lahir: Merlimau, Melaka
Status: Bujang


5. Aaron Aziz - pelakon

Teater Badai Semalam hinggalah filem Ombak Rindu, tidak ada siapa yang dapat menolak kejayaan empunya nama, Aaron Aziz. Status suami orang bukan penghalang untuk pelakon kelahiran Singapura ini mencipta nama sebagai pelakon drama dan filem Malaysia yang disegani.

Sama ada watak antagonis hinggalah kepada jejaka romantis, pelbagai karektor dijiwai Aaron dengan berkesan sekaligus memperlihatkan kebolehan dirinya mengisi setiap plot dan watak. 

Profil

Nama: Aaron Mustapha Aziz @ Aaron Aziz
Umur: 35 tahun
Tarikh lahir: 23 Februari 1976
Tempat lahir: Tampines, Singapura



6. Muhammad Zhariff Afandi - aktivis NGO

Mari berkenalan dengan lelaki istimewa ini iaitu Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi (CEO) TZI Sdn Bhd, Muhammad Zhariff Afandi, 30, yang aktif menjalankan program komuniti dan kemasyarakatan.

Sekalipun lahir tanpa kedua-dua belah tangan, Muhammad Zhariff yang menerima Anugerah Perdana Belia Tahunan 2011, membuktikan tidak ada yang mustahil dalam hidup. Kekurangan fizikal itu tidak sesekali menjadi penghalang untuk dirinya terus menabur bakti.

Latar belakang pendidikan dalam bidang perkembangan psikologi dari Universiti Graffith, Australia serta sarjana muda sastera dalam jurusan sosiologi di Kolej Damansara Utama (KDU), Kuala Lumpur, Muhammad Zhariff wajar dijadikan idola kita semua.

Profil

Nama: Muhammad Zhariff Afandi
Umur: 29 tahun
Tempat lahir: Petaling Jaya, Selangor
Status: Bujang



7. Wilson Tan - supermodel lelaki Malaysia


JEJAKA kelahiran Grik, Perak, Wilson Tan memenangi anugerah utama Asia Model Festival Awards 2011 (AMFA) di Seoul, Korea, awal tahun ini. Kejayaan ini meletakkan Wilson dalam kelas tersendiri malah sebaris supermodel wanita negara seperti Tengku Azura, Amber Chia dan Tinie.

Kesungguhan untuk bergelar model berjaya, diiringi minat serta tekun mendalami ilmu peragaan dan fesyen, menjadi resipi kejayaan Wilson yang boleh dijadikan inspirasi kepada lelaki lain.

Profil

Nama: Wilson Tan Siong Pin
Umur: 29 tahun
Tempat lahir: Grik, Perak
Status: Bujang

 Pemenangnya tentulah Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat

Komen Khairul Fahmi Che Mat, beliau menyifatkan Berita Harian sudah memberikan pengiktirafan paling tinggi kepada dirinya apabila ruangan XY-ikon lelaki, mengiktirafnya sebagai jejaka terhangat 2011.


6 ulasan:

Alan Rizque berkata...

Memang layak pun dan dikenali ramai..jasanya kepada Negara Malaysia melebihi calon lain..

leyrashid berkata...

masyarakat kita susah nak menilai seni tempatan tapi kalau dr luar...di sanjung & dijulang

Cik Sibuk berkata...

Apek? Biar benar?!

Suzie berkata...

hmmmmm ok Apek ?muda lagi boleh pergi jauh lagi dalam arena bola sepak ....good luck to apek

Fakhruddin berkata...

apek memang layak...

Razil Tahir berkata...

Ustaz Idrus tak tercalon ek??
Lelaki ikon tue....!