Isnin, 24 September 2012

Gambar Dan Biodata Lynda Roslan - Pelakon Dan Duta Butik Muslimah Radiusite

NAMANYA mungkin masih asing dalam industri seni tetapi sekiranya peminat tudung melihat gambarnya, pasti mereka tahu wajah itulah yang sering menghiasi majalah kerana menjadi model tudung.

Siti Maslinda Roslan atau Lynda, 24, bukan saja menjadi model rasmi butik muslimah terkenal, Radiusite tetapi juga mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Langkahnya semakin mudah apabila tanpa dipinta rezeki datang bergolek. Siapa sangka finalis untuk pencarian muka depan Dara.Com itu dilamar sebagai artis MIG Talent.
Lynda Roslan finalis cover depan Dara.com

Mempunyai senyuman manis serta wajah menawan, anak kedua daripada lima beradik itu tidak pernah menyangka kerjaya yang dipilih tersasar dari ijazahnya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk ceburi bidang lakonan. Semua ini secara kebetulan dan mungkin rezeki. Saya menyertai pertandingan pencarian muka depan Dara.Com dan berjaya ke peringkat akhir. Keputusan bakal diketahui pada 30 September ini.

“Mulanya, saya hanya ingin menceburi bidang peragaan tetapi tidak tahu bagaimana MIG menemui profil saya lalu menghubungi dan menawarkan saya menjadi artis di bawah naungan mereka.

“Selepas berbincang dengan keluarga, saya bertemu sendiri dengan produser David Teo dan memberikan syarat saya sebagai seorang artis. Sebagai wanita bertudung, saya harus lebih awal memaklumkan batasan saya ketika berlakon,” katanya.
Lynda Roslan menjadi duta butik muslimah-Radiusite  
Optimis dengan keputusannya itu, pemegang ijazah sarjana muda dalam Seni Bina Landskap tidak mahu menoleh dan terus maju ke depan.

Tidak ada istilah menyesal walaupun ada pihak mempertikaikan pilihannya. Keluarga turut memberi sokongan dan keyakinan bahawa dia mampu menjaga nama baik keluarga dan tidak menghalang minatnya.

Muncul memegang watak kecil dalam drama bersiri Takdir Kismah dan filem Adnan Sempit 3, Lynda harus bekerja keras untuk memperbaiki mutu lakonannya kerana dia tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu.
Lynda Roslan di majlis konvo
“Dalam filem Adnan Sempit 3, saya pegang watak kecil saja. Tidak ada dialog sangat pun. Cuma ada dalam dua tiga babak saja sebab itu cabaran tidak terasa sangat.

“Cuma dalam Takdir Kismah, saya memegang watak Linda dan anak ustazah dilakonkan Dian P Ramlee. Dalam drama itu, barulah terasa sikit cabaran kerana agak banyak juga dialog yang perlu saya ingat dan pada masa yang sama kena sesuaikan dengan reaksi muka,” katanya.

Lynda akui gementar berlakon di samping pelakon yang jauh berpengalaman tetapi memberi pengalaman manis buatnya kerana dapat belajar dengan mereka. Lynda berterima kasih pada Dian yang memberikan tunjuk ajar melontarkan dialog dan menjiwai watak. Takdir Kismah disiarkan di TV3 pada Julai lalu menerusi slot Azalea dan turut dijayakan Wawa Zainal dan Lisdawati.

Mengenai peluang wanita berhijab dalam bidang seni, Lynda melihat perkara itu dari sudut positif. Katanya, masyarakat mungkin melabel wanita bertudung sesuai dengan watak alim tetapi baginya, secara realitinya tidak seperti itu.

“Ramai pelakon bertudung tetapi rezeki mereka dalam bidang seni masih terbuka luas dan tidak pernah berhenti. Lihat saja beberapa pelakon seperti Sheila Rusly dan Diana Amir. Yatt Hamzah sendiri memberitahu dia masih belum ada masa rehat kerana sibuk berlakon.

“Tidak dinafikan, wanita bertudung dikaitkan dengan peribadi mulia tetapi kita sendiri sedar realitinya tidak semua wanita yang menutup aurat itu menjaga percakapan dan tingkah lakunya, mereka sekadar menjaga aurat saja.

“Tiada masalah yang wujud walaupun pelakon berhijab diberikan watak antagonis yang penting tidak melampaui batas. Saya suka membawakan watak yang dapat mencabar kemampuan saya,” katanya.

Dilihat pada luaran, Lynda boleh ditafsir sebagai seorang wanita lemah lembut dari cara dia bercakap, berjalan, melontarkan jawapan namun di sebalik semua itu, dia sebenarnya seorang yang lasak.

5 ulasan:

Mohamad Fathi berkata...

Hukhuk... Comeinya... Cantik anugerah Allah S.W.T. berikan kepada beliau.. =)

Kak Mahh berkata...

Bagus....ada prinsip dan batasan.

ct cheery berkata...

chantek orangnya..

Syaza Ridzuan berkata...

hope dia success..jgn trsasar dr prinsip..amiin~

Ana Farhana berkata...

cantik.. kelebihan yg allah berikan pd beliau..