Isnin, 3 September 2012

Gambar Majlis Nikah Dan Resepsi Pelakon Izreen Azminda Dan Riza

BAIT-BAIT lirik lagu Kau Tercipta Untukku dendangan kumpulan Ungu menyambut kehadiran tetamu pada majlis pernikahan pelakon popular Izreen Azminda Aznam, 27, dan Muhd. Riza Baharuddin, 29, yang berlangsung di Darulaman Golf and Country Club di Jitra, Kedah.

Pasangan raja sehari itu selamat diijab kabul bapa Izreen sendiri, Mohd. Aznam Mohd. Noor tepat pukul 9.50 malam 30 Ogos 2012, sambil bersaksikan Zakaria Abd. Rahman, 61, dan Mohamad Abdullah, 55. Dengan sembilan dulang hantaran dari Riza berbalas 11 dulang dari Izreen, termaktub juga janji setia mereka hingga akhir hayat.

Wang hantaran RM19,001 berserta mas kahwin RM999 mengukuhkan lagi ikrar mereka untuk melayari bahtera rumah tangga.


Izreen Azminda & Riza di majlis resepsi
Majlis Resepsi Izreen Azminda & Riza
Anggun dalam persalinan berwarna biru turquoise pada malam pernikahannya, sinar mata Izreen ternyata amat bahagia dengan pengakhiran kisah kontroversinya dengan Riza.

Dalam pada itu disebabkan inilah pertama kali bergelar isteri, Izreen yang begitu teruja melihat ikatan perkahwinannya itu sebagai pengalaman baharu yang amat mencabar.

“Ketika Riza mula melamar dan saya menerimanya, bermakna saya sedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Riza seorang yang romantik bagi perempuan macam saya yang kasar dan ada kala agresif.

“Saya kuat memberontak tetapi Riza tenang sahaja. Saya berharap Riza dapat menjaga saya dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin serta menyayangi saya dengan sepenuh hati,” bicara Izreen sambil menguntum senyuman manis.

Riza yang cukup mesra ketika ditemui wartawan usai majlis akad nikah, pantas berkata: “Apabila tiba tarikh ini (di masa hadapan) saya kena beri dua hadiah kepada Izreen. Lagipun kami dapat meraikannya serentak sebagai ulang tahun kelahiran dan perkahwinan.”

Riza pula mengakui dia juga turut dilanda debaran, terutama sejurus sebelum upacara akad nikah dijalankan.

“Saya amat bersyukur kerana debaran menjadi suami berakhir dengan baik. Ini tanggungjawab Allah kepada saya,”' ujar jurukamera yang sudah enam tahun bergiat aktif dalam industri perfileman itu.

Bagi lelaki berusia 29 tahun itu, ini bukan perkahwinan kali pertamanya kerana ‘masjid’ yang dibina sebelum ini tidak ke penghujung.

“Saya akan menjaga Izreen seperti saya jaga diri saya dan menyayangi dia lebih dari sayang diri sendiri. Saya tidak mahu ulang apa yang berlaku sebelum ini iaitu bernikah dan bercerai. Kalau boleh biar perkahwinan ini sampai akhir hayat,” ujar Riza yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Mengulas mengenai sikap kasar Izreen pula, kata Riza, isterinya itu tetap menyerlah sisi kelembutan dalam dirinya dan itulah yang nyata telah berjaya memikat hatinya.

“Saya nampak sifat keibuan Izreen apabila melayan kanak-kanak. Moga Izreen menjadi isteri solehah, untuk mendidik dan menjaga anak-anak saya sampai pandai dan jangan cepat marah,” seloroh Riza yang mengimpikan tiga orang cahaya mata.
Majlis pernikahan Izreen & Riza
Izreen Azminda dan Riza di majlis pernikahan mereka

1 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Cantiknya baju pengantin...Tahniah,semoga kekal bahagia.